Info SUNNAH

'' Sampaikan daripadaku walau satu ayat '' atau '' ballighu 'anni walau ayah ''....



Sabda Rasulullah s.a.w diriwayatkan al-Bukhari



Keterangan : Bahawa Para Sahabat Rasulullah s.a.w, sebaik sahaja mendengar sabda Rasulullah s.a.w ini, mereka terus memacu kuda, mengangkat sauh belayar dan bertebaran di merata tempat di bumi Allah ini demi menyebarkan seruan TAUHID. Kalau tidak, masakan Islam sampai ke seluruh ceruk di dunia. Oleh itu, sebagai muslim, janganlah melihat kerja dakwah itu bukan tugas kita atau kita boleh melakukan dengan sambil lewa sahaja. Jangan sampai rugi di dunia, melepas di akhirat... Wallahu a'lam.

Harapan

Semoga kehadiran blog ini, dapat membantu anda semua untuk perjuangan dunia dan akhirat anda. Sebagai hamba, inilah salah satu usaha untuk menyampaikan setiap kehendak yang Maha ESA. Insya ALLAH

Sunday, October 25, 2009

Penjelasan Keatas Pihak Yang Mempromosikan Produk Takaful Bersama Produk Konvensional

Petikan ini di siarkan adalah untuk menerangkan sebarang persoalan yang timbul di kalangan umat islam di malaysia hari ini, yang masih keliru dalam membuat pemilihan perancangan kewangan. Untuk makluman: Senarai syarikat yang mempunyai lesen takaful ada di senaraikan disebelah. Syarikat milik penuh muslim, perkataan Takaful dihadapan manakala syarikat insurans konvensional yang memiliki lesen takaful, perkataan Takaful di belakang. Ini jelas membezakan taraf kedudukan sesebuah syarikat pengendali takaful. Sepertimana juga sijil HALAL yang di keluarkan untuk membolehkan sesuatu produk itu di jual kepada umat islam. Sedangkan kesucian diragui jika dibandingkan dengan produk keluaran muslim. Kepada anda semua, fikir-fikirkan sebelum mengeluarkan setiap sen duit anda untuk membuat amal jariah.

Ramai yang bertanya kepada saya tentang hukum membeli produk-produk takaful yang ditawarkan oleh syarikat yang juga menawarkan produk konvensional pada masa yang sama. Dengan kata yang lain, syarikat-syarikat ini mempromosikan produk takaful berasaskan Syariah serentak dengan produk-produk konvensional yang mempunyai unsur gharar, maisir dan riba.

Dewasa ini, syarikat Takaful di negara kita semakin bercambah dari masa ke semasa. Syarikat-syarikat ini terpaksa bersaing di antara satu sama lain dalam menonjolkan syarikat mereka agar dikenali dan dipercayai di persada tanah air dan antarabangsa. Justeru, ada pandangan menyatakan tentang keperluan mempelbagaikan instrumen promosi termasuk dengan menggunakan saluran syarikat insurans, individu (agen), broker dan pihak-pihak konvensional yang lain. Ini adalah kerana sesetengah daripada mereka mempunyai pengaruh dan mampu menarik minat masyarakat terutamanya orang yang bukan Islam untuk menyertai takaful.

Justeru, apakah dengan wujudnya faktor pendesak ini, maka ia menjadi keperluan segera bagi syarikat Takaful untuk mempraktiskannya? Persoalan yang timbul di sini adalah apakah diharuskan sekiranya syarikat atau individu daripada insurans konvensional mempromosikan Takaful?

Huraian isu

Pada asasnya, perlulah difahami bahawa aktiviti mempromosikan Takaful oleh pihak insurans konvensional sebenarnya tidak menjejaskan operasi Takaful sekiranya ia dilihat dari sudut kontrak semata-mata. Ini adalah kerana kontrak tersebut berlaku secara berasingan di antara syarikat Takaful dan perantara-perantara terbabit.

Namun, kita perlu melihat isu ini dengan pandangan yang holistik. Ini bermakna, isu ini perlu diteliti dari segenap sudut agar ia sejajar dengan sifat kesyumulan Islam itu sendiri. Allah SWT berfirman dalam Surah al-Baqarah ayat 208;

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا ادْخُلُوا فِي السِّلْمِ كَافَّةً وَلا تَتَّبِعُوا خُطُوَاتِ الشَّيْطَانِ إِنَّهُ لَكُمْ عَدُوٌّ مُبِينٌ

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam secara keseluruhannya, dan janganlah kamu mengikuti langkah-langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan ituadalah musuh yang nyata bagi kamu.

Oleh kerana itu, isu ini hendaklah dinilai supaya ia bertepatan dengan objektif syariah (maqasid syariah) dengan menggunakan pertimbangan yang sewajarnya (fiqh muwazanat) berdasarkan maslahah, prioriti dan kondisi semasa. Apa yang perlu dititikberatkan di sini adalah kesan-kesan negatif yang akan timbul apabila ia dipraktiskan.

Kesan-kesan Negatif

Antara kesan-kesan negatif yang akan timbul apabila produk konvensional dan Takaful dipromosikan secara serentak adalah seperti berikut;

a) Ia boleh mendatangkan kekeliruan kepada masyarakat.

1- Masyarakat sukar untuk membezakan di antara kedua-dua produk tersebut kerana ia dipromosikan melalui pihak yang sama. Ia seterusnya akan menyebabkan mereka terjerumus ke arah menggunakan produk dari syarikat insurans konvensional.

2- Masyarakat Islam juga tidak akan dapat memahami sifat kesyumulan Islam itu sendiri dan mereka akan beranggapan bahawa Islam boleh berkompromi dengan perkara-perkara yang haram.


b) Berlaku percampuran antara hak dan batil.

Sekiranya isu ini dipraktiskan, maka ia jelas bercanggah dengan konsep Islam yang bersifat ‘inqilabiah’ yang bermaksud Islam tidak akan tertegak bersama kebatilan dan Islam tidak membenarkan percampuran di antara hak dan batil.

Firman Allah SWT dalam Surah al-Baqarah, ayat 42;
( ولا تلبسوا الحق بالباطل وتكتموا الحق وأنتم تعلمون )

Maksudnya: “Janganlah kamu mencampur adukkan perkara yang hak dan batil serta janganlah kamu menyembunyikan yang hak itu sedang kamu mengetahui.”

Hakikatnya, berlaku dua percampuran antara hak dan batil terhadap pihak tersebut iaitu;

1- Percampuran antara dosa dan pahala kerana dia melakukan kebajikan kerana mengajak manusia menjauhi dosa dengan mempromosikan Takaful dan pada masa yang sama berbuat dosa kerana mempraktiskan riba. Mana mungkin Allah SWT menerima amalan kebajikannya itu sekiranya pada masa yang sama dia masih kekal dengan kebatilan yang tidak disukai oleh Allah SWT. Ini sangat bercanggah dengan maqasid syariah iaitu untuk menjaga agama ( حفظ الدين).

2- Percampuran dalam harta pihak terbabit kerana komisyen insurans konvensional juga akan digunakan untuk sebarang urusan berkaitan Takaful. Sudah tentu amat sukar baginya untuk membezakan di antara hartanya yang bersumberkan konvensional ataupun Takaful. Situasi ini juga jelas bertentangan dengan maqasid syariah iaitu untuk menjaga harta ( حفظ المال).

c) Sadd az-Zarai’ ( سد الذرائع ) –menutup pintu tersebarnya kemaksiatan dan kebatilan.

Dari sudut yang lain pula, masyarakat akan melihat bahawa kerjasama yang seumpama ini seolah-olah membuktikan syarikat Takaful mengiktiraf produk insurans konvensional. Umum telah mengetahui bahawa setiap produk dari syarikat Takaful perlu mendapat kelulusan dan pengiktirafan daripada Majlis Penasihat Syariah. Justeru, mempromosikan produk Takaful dan konvensional secara serentak akan menyebabkan golongan yang tidak bertanggungjawab dapat mengeksploitasikan kelulusan daripada MPS ini untuk memperdayakan masyarakat terhadap produk konvensional bagi tujuan kepentingan materialistik mereka.

Justeru, syarikat Takaful perlu bersikap ‘menutup pintu kemudharatan’ iaitu menyekat daripada fenomena ini daripada terus menular dengan cara tidak membenarkan ianya dipraktiskan.

d) Keuntungan yang sedikit berbanding kerugian yang bakal mengundang.

Praktis ini juga sebenarnya kurang memberikan kelebihan kepada syarikat Takaful, bahkan ia dapat mengundang kerugian daripada pelbagai aspek. Reputasi syarikat Takaful sebenarnya akan terjejas kerana masyarakat menganggapnya bergantung kepada pihak insurans konvensional dalam membuat promosi walaupun jelas pihak tersebut menjalankan aktiviti yang diharamkan syarak.

Memang tidak dapat dinafikan di sana terdapatnya sedikit kelebihan, namun kerugian yang bakal menimpa adalah lebih besar. Asy-Syeikh Ahmad b. Asy-Syeikh Muhammad Az-Zarqa’ telah menuliskan satu kaedah yang digagaskan oleh fuqaha iaitu; درء المفاسد أولى من جلب المصالح))[1] bermaksud, menolak kemudharatan itu lebih utama daripada mengambil manfaat. Adalah lebih baik bagi syarikat Takaful untuk mempromosikannya sendiri bagi mengelakkan kesan negatif walaupun mungkin tidak mendapat sedikit keuntungan.


e) Berlaku pertembungan di antara dua keburukan.

Mungkin ada pihak yang mendakwa bahawa kerugian bakal diterima oleh syarikat Takaful sekiranya tidak membenarkan pihak konvensional mempromosikan produk mereka. Namun, perlulah disedari bahawa aktiviti mempromosikan Takaful oleh pihak insurans konvensional juga boleh menyebabkan terhakisnya kepercayaan pelanggan terhadap ketulenan halalnya produk Takaful tersebut. Akhirnya, pelanggan yang sedia ada mungkin akan bertindak untuk memilih produk-produk konvensional.

Justeru, apabila bertembung dua perkara yang mendatangkan mudharat (keburukan), maka perlulah dipilih mudharat yang lebih ringan (يختار أهون الشرين[2]).

f) Sesuatu perkara yang boleh membawa kepada haram, maka perkara itu juga adalah haram ( ما أدى إلى الحرام فهو حرام).

Dr. Yusuf Al-Qaradhawi dalam bukunya “Halal dan Haram dalam Islam” telah menyatakan bahawa apabila Islam mengharamkan sesuatu perkara, maka ia juga akan mengharamkan perkara-perkara yang boleh membawa kepada keharaman tersebut[3].

Sebagai contoh, apabila Allah melaknat peminum arak, Dia juga melaknat pihak-pihak yang bersekongkol dengannya sebagaimana hadis yang disebutkan oleh Ibn Abbas:

أن النبي صلى الله عليه وسلم أتاه جبريل فقال‏:)‏ يا محمد إن الله لعن الخمر وعاصرها ومعتصرها‏،‏ وحاملها والمحمولة إليه وشاربها وبائعها‏،‏ ومبتاعها وساقيها(‏.

Maksudnya: “Sesungguhnya Nabi SAW didatangi oleh Jibril lalu berkata : Wahai Muhammad, Sesungguhnya Allah melaknat arak dan pemerahnya, Orang yang meminta memerahnya, pembawanya, yang dibawa kepadanya, peminumnya, penjualnya, pembelinya dan penuangnya.”[

Apabila pihak insurans konvensional mempromosikan takaful, menjadi kemestian kepada syarikat takaful membayar komisyen kepada mereka. Komisyen ini pada masa yang sama akan digunakan oleh pihak insurans konvensional untuk membangunkan produk dan kepentingan mereka yang menjalankan operasi yang jelas haram di sisi syariat Islam.

Ini secara tidak langsung menggambarkan bahawa pihak takaful akan terbabit sama membantu (ta’awun) dalam urusan insurans konvensional yang haram tersebut. Oleh kerana produk tersebut haram, maka sebarang usaha untuk membantunya adalah haram.

g) Produk takaful dan konvensional tidak sesuai dipromosikan bersama.

Adalah mustahil juga sekiranya pihak yang mempraktiskan produk yang diharamkan Islam tetapi pada masa yang sama mempromosikan produk yang dihalalkan Islam. Ini adalah kerana aktiviti mempromosikan takaful sebenarnya menuntut kepada penjelasan tentang kelemahan yang ada pada produk konvensional. Ia juga menuntut kepada penjelasan tentang konsep-konsep Islam yang diamalkan oleh takaful dan ini secara tidak langsung berkaitan dengan pengharaman insurans konvensional.

Wallahu a'lam.

FASTAQIM KAMA UMIRTA...


[1] Lihat Syarah Qawaid Fiqhiah, Asy-Syeikh Ahmad b. Asy-Syeikh Muhammad Az-Zarqa’, cetakan kedua, m/s 205.
[2] Ibid, m/s 203
[3] Dr. Yusuf al-Qaradhawi, AL-HALAL WAL HARAM FIL ISLAM, m/s 34
[4] Hadis riwayat At-Tirmizi, Abu Daud dan Hakim. Telah mensahihkannya oleh Syaikh Albani didalam “sahih Jamik Saghir (2/907))

No comments:

Post a Comment